Tips Elak Love Scam

February 14, 2023

Gaya Hidup

“Mak, menyesal Ika percaya dia Mak. Ika sayang dia Mak, tapi dia tipu Ika, hilang semua simpanan RM30K Ika”

“Kau dah gila ke Ika, siapa lelaki ini, biar Mak ganyang dia.”

“Ika tak pernah jumpa dia, kami bercinta online je…”

Ilustrasi menunjukkan beberapa orang yang menunjukkan dating profile di telefon pintar masing-masing

Hmm itulah, bila dah sayang, apa pun sanggup diberikan, walaupun hanya kenal dalam talian. Baru dalam fasa perkenalan dah nak kena ‘pau’. Ini mencurigakan. Tapi itulah, demi cinta ramai mangsa dah terjerat dengan Love Scam. Cinta tu memang membutakan, tapi jangan sampai memudaratkan. Lelaki ke perempuan ke, semua boleh jadi mangsa. Teknologi dah mudahkan kita cari pasangan tapi golongan ini yang merosakkan keadaan. Jadi jom kita kenali taktik-taktik yang biasa digunakan penipu cinta ni.

Sibuk orang cerita pasal Love Scam, anguk-angguk kepala tanda faham, tapi tahu tak apa definisi sebenarnya? Tahu sikit-sikit? Tak apa, jom baca pencerahannya.

Ilustrasi menunjukkan individu yang berbeza daripada yang digambarkan

LOVE SCAM/PENIPUAN CINTA

Modus operandi yang kerap digunakan sindiket penipuan untuk memperdaya mangsa dengan cinta palsu secara atas talian.

Sebenarnya, mangsa dan pemangsa ni tak ikut jantina. Tapi menurut kajian daripada PDRM, mangsa love scammer ramai wanita, iaitu sebanyak 55%. Manakala 45% untuk lelaki. Tapi tak banyak beza pun, jadi dua-dua jantina kena berhati-hati.

MODUS OPERANDI YANG BIASA DILAKUKAN

Ilustrasi menunjukkan 3 individu profesional

Kebiasaannya jenayah ini berlaku di online platform, dating apps seperti Tinder, Omi dan Michat. Scammer dengan fake profile akan memikat, dan menyamar sebagai seorang yang berkerjaya seperti businessman atau golongan profesional seperti lawyer ataupun menjual cerita sedih untuk menagih simpati.

‘Percintaan’ diteruskan sampai mangsa jadi buta akan cinta. Kemudian, duit akan diminta untuk modal kahwin bersama, kecemasan kewangan ataupun hadiah yang dikatakan dihantar ke mangsa tapi memerlukan sejumlah wang (yang diberi kepada pemangsa) untuk dikeluarkan dari tahanan kastam. Masih tak percaya? Ini antara tajuk-tajuk utama mengenai Love Scam di akhbar-akhbar tempatan.

Pengurus Kanan Rugi RM648,00 ditipu Love Scam – Sinar Harian

Woman, 54, Loses Over RM1.4mil in Love Scam – The Star

Company Director Loses RM5.29mil in Love Scam – Free Malaysia Today 

In Taiping, Woman Loses Over RM500,000 to ‘Doctor’ in Love Scam – The Malay Mail

TANDA-TANDA YANG ANDA MUNGKIN DITIPU

Tak ramai orang yang suka nak hidup sendiri. Tapi dalam proses mencari Ms atau Mr Right dalam talian, anda wajib check siap-siap kekasih online anda tu betul ke tak? Ini antara senarai checklist yang anda kena ketahui tanda-tanda kalau anda merupakan mangsa love scammer:

Ilustrasi menunjukkan seorang wanita yang kesedihan dan sedang dipujuk rakannya

  • Pindah chat –  Scammer akan minta alihkan conversation ke platform yang lebih peribadi sama ada di WhatsApp ataupun panggilan telefon dengan pantas.
  • Intrusif – Awal-awal lagi sudah tanya banyak soalan peribadi macam lokasi kat mana, kerja apa, gaji berapa dan sebagainya.
  • Mengelak soalan peribadi. Tapi jika ditanya tentang soalan peribadi, Scammer akan elak pula daripada menjawab soalan tentang mereka. Contohnya, kalau ditanya mereka tinggal kat mana cuma bagi negeri je, tak bagi lokasi spesifik macam kalau di Perak dia tak akan jawab jika tinggal di Ipoh ke, Manjung ke.
  • “Tak rilek”  Awal sangat berkata sayang. “Rasa macam dah kenal lama”, “tak pernah rasa happy macam ni”. 2 ni antara ayat popular scammer. Ini semua acah-acah je, tolong jangan percaya!
  • Nak duit  Belum apa-apa dah minta “pinjam” duit. Tak kelakar. Sila jauhkan diri dari orang yang macam ini. 
  • Elak jumpa – Tak pernah jumpa depan-depan. Bila dah janji, asyik dibatalkan je. Jangan naif, kalau sekali tu mungkin masuk akal. Tapi kalau dah berkali-kali, letak ke tepi putik-putik cinta tu sekejap dan fikir secara logik. 
  • Gambar fake –  Bila anda minta gambar, anda boleh tahu yang gambar tu mencurigakan. Mesti ada filterlah, stickerlah, gambar lamalah. 

KALAU ANDA DAH KENALPASTI TANDA-TANDA DI ATAS, APA PERLU BUAT?

Ilustrasi menunjukkkan simbol tangan yang bermaksud “berhenti”

  • Berhenti kongsi segala maklumat peribadi anda. Contohnya, nama penuh, tempat lahir, alamat semasa termasuklah siapa keluarga dan rakan anda. Hati-hati dengan taktik scammer nak belikan barang, dan minta alamat penuh & details. Bagi horoskop bolehlah.
  • Jangan terima atau beri duit. Tolong, yang ni kena hati-hati sangat-sangat. Ramai tak tahu yang terima duit pun membolehkan anda jadi mangsa. Antara yang mungkin boleh berlaku adalah individu itu ingin mencuci duit atau mengugut dengan menuduh anda telah ambil duit mereka. 
  • Fikir dua kali sebelum buat panggilan video. Cinta macam mana sekalipun, kalau dengan stranger, anda kena waspada. Mereka sebenarnya boleh rakam anda senang-senang. Tak kiralah kamera fon ke laptop ke. Lebih parah, mereka boleh buat macam-macam dengan video/gambar anda.
  • Maklumkan kepada orang terdekat kalau nak jumpa. Boleh beritahu orang yang anda percaya. Pilih lokasi awam seperti restoran dan update orang terdekat situasi anda dari semasa ke semasa.
  • Ikut kata hati. “Macam fishy je dia ni”. Jangan hiraukan kata hati sekiranya anda berasa tidak selamat. Bertindak sebelum terlambat. 

ANTARA CONTOH POP CULTURE TENTANG LOVE SCAM YANG ANDA BOLEH TONTON

Ini antara rancangan yang anda boleh tonton untuk faham apa je yang love scammer ni mampu buat?

Gambar menunjukkan poster-poster rancangan Inventing Ann, The Tinder Swindler & Catfish. Kredit imej daripada iMDB.

JANGAN MUDAH JATUH SAYANG, SELIDIK DULU 

Ilustrasi menunjukkan 2 orang individu yang sedang chatting melalui aplikasi

Kini, anda dah boleh kesan taktik-taktik kotor pemangsa love scam, langkah-langkah untuk hadapi dan dokumentari yang boleh diambil iktibar. Jadi bolehlah ambil langkah berjaga-jaga kerana love scam bukanlah tertumpu kepada jenayah duit sahaja, tetapi anda juga berisiko terjerumus dengan pemerdagangan manusia, keldai dadah dan juga pelacuran. 

Jadi kenalah berhati-hati termasuklah bercinta dan cari jodoh. Cinta tu tak salah, yang salah tu manusia. Jadi, pastikan kalau anda tengah berkenalan dengan seseorang di online platform, buat checklist macam di atas dulu. Percayalah, sekali dah kena, mesti serik seumur hidup. Jadi manfaatkan teknologi dan ketersambungan Internet yang baik dengan lakukan tindakan yang betul.

Bercintalah dengan bijak!

Penulisan oleh Qareena Ramlee

Kongsi maklumat ini
Kandungan Berkaitan
Isi Masa Terluang Versi Digital

Gaya Hidup

March 21, 2023

Untungnya Tinggalkan Review!

Gaya Hidup

March 20, 2023

Media Sosial Anti Toksik - ‘Block’ Je

Gaya Hidup

March 8, 2023

'Online Presence' Para Kerabat Diraja

Gaya Hidup

March 8, 2023

Skip to content