Smart Watch Penting ke? Haa Ini 4 Sebab!

January 19, 2023

Kesihatan

“Eh kejap, macam mana ambulan datang? Tadi kau kata masa dia jatuh kat tandas dia sorang-sorang je kat dalam bilik tu. Kat rumah dia takde orang kan?”

Haa, ini adalah berdasarkan situasi benar yang pernah terjadi. Seorang lelaki daripada Norway jatuh tersembam dan tak sedar di dalam tandas. Tiada siapa yang tahu kejadian tersebut sehingga jam tangan pintar yang dipakai Toralv Østvang menghantar SOS kepada balai polis terdekat untuk menghantar bantuan segera. Hebat sungguh teknologi!

Ini hanya salah satu daripada manfaat pemakaian jam tangan pintar atau biasanya dipanggil Smartwatch. Kalau ini dari sudut keselamatan, dari segi pantauan kesihatan, pemakanan, senaman dan sebagainya pun ada tau! Jom kita kupas satu-satu.

4 KEBAIKAN SMART WATCH

1. KESELAMATAN – Penyelamat di Saat Kecemasan 

Siapa saja yang akan tahu bila kecemasan berlaku, jadi langkah berjaga-jaga itu penting. Salah satu caranya adalah dengan jam tangan pintar. Kebanyakan jam tangan pintar di pasaran ada ciri ‘Fall Detection’ di mana ia boleh mengesan sekiranya anda jatuh dan tak bergerak. Apabila ia dikesan, bantuan akan segera dihantar berdasarkan lokasi anda.

Ciri ini bukan saja sesuai untuk sesiapa saja malah ia sangat berguna untuk warga emas dan kanak-kanak yang mempunyai keperluan khas (berpenyakit atau kurang upaya). Antara jenama yang mempunyai ciri ini adalah Apple Watch dan Samsung Galaxy Watch.

Gambar menunjukkan papan pemuka jam tangan pintar apabila Fall Detection dikesan. Kredit imej daripada Apple.

2. KESIHATAN – Data-data kesihatan yang mudah dipantau

Penggunaan jam tangan pintar juga memudahkan pantauan data kesihatan dibuat. Sesuai untuk mereka yang ingin peka tentang tahap kesihatan dan pesakit yang perlu pantauan rapi. Ini antara data kesihatan yang boleh dipantau melalui jam tangan pintar.

  • Kadar degupan jantung
  • Suhu
  • Kadar oksigen dalam darah
  • Tekanan darah
  • Bacaan ECG (Electrocardiogram)

Kalau anda masih muda, rajin berolahraga dan tiada sejarah penyakit berbahaya, perlu ke nak pantau data kesihatan ini semua? Mungkin anda akan ubah fikiran bila dengar cerita Heather Hendershot. Seorang wanita yang beranggapan sebegitu tetapi jam tangan pintar memberi amaran yang kadar jantungnya dah melebihi 120 degupan seminit pada satu malam. Heather langsung tak merasakannya tetapi tetap ke hospital dan mendapati beliau mengalami hipertiroidisme. Jika tidak dirawat awal, ia boleh memberi komplikasi yang mengancam nyawa. Antara jenama jam pintar dengan fungsi ini ialah Samsung Galaxy Watch 5.

Gambar menunjukkan paparan pemuka jam tangan pintar dengan kadar degupan jantung yang tinggi. Kredit imej daripada Samsung.

3. KECERGASAN – Personal trainer di tangan anda

Ini adalah sebab popular kenapa ramai orang mula pakai jam tangan pintar iaitu fungsi yang membolehkan mereka menjejak prestasi senaman mereka untuk mencapai fitness goal masing-masing! Berikut merupakan jenis metrik kecergasan yang boleh dijejak oleh jam pintar di pasaran:

  • Pedometer (mengira langkah)
  • Mengira kadar degupan jantung
  • Mengira jarak larian
  • Mengira kalori yang dibakar
  • Dilengkapi GPS untuk laluan larian
  • Memberi skor kecergasan

Contohnya, jika anda seorang pelari, anda akan berminat untuk mengetahui perbezaan kadar degupan jantung (resting beat per minute) ketika berehat dan kadar degupan jantung ketika bersenam. Untuk yang ingin bersenam secara ringan setiap hari, notifikasi akan diberi untuk anda bergerak dan memenuhi langkah harian yang disetkan, contohnya 10,000 langkah. Macam ada fitness coach sendiri!

Sesetengah jam tangan pintar juga boleh mengesan jenis aktiviti sukan yang dilakukan menggunakan ciri accelerometer. Antara jam tangan pintar terkenal untuk senaman pula adalah Fitbit Versa 3 dan Garmin Fenix 7S. 

Gambar menunjukkan seorang individu sedang melihat jam tangan pintar yang memaparkan notifikasi untuk bersenam

4. GAYA HIDUP – pemakanan lebih sihat, tidur teratur & kesihatan mental in check!

Dari segi pengurusan diet, pantauan waktu tidur ke kesihatan mental pun dapat dilakukan dengan jam tangan pintar tau. Tak percaya, ini ciri-cirinya:

  • Pengurusan Diet – Jejak pengambilan kalori pada setiap waktu makan untuk galakkan gaya pemakanan yang lebih sihat. Kalau dibuat dengan konsisten bersama dengan senaman, boleh turun berat badan! Untuk senarai aplikasi diet sihat yang disarankan, jom klik sini.
  • Pantauan waktu tidur – Susah nak tidur atau mahukan kualiti tidur yang lebih baik? Anda boleh jejak jadual tidur yang paling ideal dengan menganalisa data tidur melalui jam tangan pintar. Jejak waktu jaga dan tidur, fasa tidur dan sekiranya ada gangguan bunyi seperti bunyi dengkur. Hasil analisa ini akan beri panduan, notifikasi bila anda perlu tidur dan tips untuk mudah lena. 
Tangkap layar daripada papan pemuka jam tangan yang menunjukkan data tidur. Kredit imej daripada Garmin

  • Kesihatan mental – Stres juga boleh menjadi faktor kualiti tidur yang kurang baik serta pengambilan makanan yang kurang sihat. Anda juga boleh pantau kadar stres dengan ciri Stress Level Feature bagi jenama Garmin, di mana jam pintar boleh mengesan kadar stress melalui heart rate variability. Apabila dikesan, ia akan beri anda amaran untuk bertenang. Apple Watch juga ada 1 ciri yang akan menghantar notifikasi ke jam tangan pintar untuk Reflect & Breathe. Satu cara untuk mempraktikkan mindfulness dengan mengingatkan anda pada hujung hari untuk renung kembali apa yang telah berlaku (Reflect) dan menarik nafas yang dalam seketika (Breathe)
  • Untuk aplikasi meditasi terbaik, anda boleh klik di sini untuk baca artikel. 

SMARTWATCH BUKAN SEKADAR CANTIK DI PERGELANGAN TANGAN

Hanya 30% rakyat Malaysia yang memakai smartwatch setakat tahun 2022. Lebih ramai lagi dijangka akan memakainya sebab ia bukan sekadar tren, tapi banyak lagi yang kelebihannya. Sesuai untuk segenap usia dan pilihan boleh dibuat berdasarkan keperluan masing-masing.

Jika anda seorang yang pentingkan kecergasan, pilihlah yang padat dengan ciri fitness tracking dan jika anda perlu pantauan kesihatan yang rapi, pilihlah yang banyak ciri-ciri kesihatan. Harganya juga ada yang mampu milik sehingga yang paling premium. Pilihan di tangan anda. 

Bersama manfaatkan teknologi yang memudahkan anda untuk memilih gaya hidup yang lebih sihat dan cergas!

Penulisan oleh Qareena Ramlee

Kongsi maklumat ini
Kandungan Berkaitan
Marie Kondo Kan Ekosistem Digital Anda

Kesihatan

March 21, 2023

Kerja Kerja Juga, Belakang Kena Jaga!

Kesihatan

March 20, 2023

Aplikasi First Aid jadi HERO dalam kecemasan

Kesihatan

March 17, 2023

Benda Dah Ada, Kenapa Tak Guna?

Kesihatan

March 13, 2023

Skip to content