Pintu sempadan telah dibuka dan sekarang ramai memilih untuk melepaskan tekanan 2 tahun berada di rumah ketika PKP, untuk keluar melancong. Aktiviti melancong ini semakin rancak pasca PKP dengan kebanyakannya memilih untuk melancong dalam dan luar negara.
Tidak dinafikan aktiviti ini memang seronok dilakukan tetapi memerlukan perancangan yang teliti. Banyak perkara perlu diselesaikan sebelum melangkah ke negeri atau negara baru. Salah perancangan, maka aktiviti melancong anda akan bertukar menjadi mimpi buruk!
Tak nak rancangan anda terbantut? Gunalah Google Sheet, perancangan aktiviti melancong akan lebih teratur dan mudah. Ini caranya.
APA ITU GOOGLE SHEET?
Dikenali juga sebagai Google Spreadsheet, Google Sheet adalah satu perisian atas talian daripada Google. Reka bentuknya seperti Microsoft Excel yang sering diguna pakai di pejabat tetapi Google Sheet adalah perisian dalam talian. Jika anda mempunyai alamat emel daripada gmail.com, anda boleh mengakses perisian ini.
GOOGLE SHEET JADI TEMAN
Bagaimana Google Sheet dapat memudahkan rancangan melancong anda? Ini cara menggunakan Google Sheet untuk menjadi teman setia melancong anda dalam tiga peringkat:
- Sebelum melancong – Peringkat paling penting tetapi tak ramai nak buat iaitu peringkat perancangan. Jadikan Google Sheet rujukan maklumat seperti tempat melancong kepada kumpulan anda. Tukarkan menjadi helaian (tab) rujukan untuk semua. Contoh-contoh seperti di bawah:
- Itenerari umum – di mana anda berada pada hari apa.
- Itinerari lengkap – lokasi khusus, masa dan sebagainya, juga boleh dipautkan kepada tab yang lain.
- Senarai barang untuk dibawa (packing checklist).
- Informasi pengangkutan – penerbangan, kereta api, bas dan sebagainya.
- Penginapan – lokasi, harga, deposit, masa daftar dan sebagainya.
- Bajet – perbelanjaan harian, beli belah dan sebagainya.
- Semasa melancong – Ini antara cara yang tak ramai tahu. Jika anda melancong ke luar negara, perisian ini boleh membantu anda menjadi penterjemah peribadi anda. Tapi dah ada Google Translate, buat apa guna Google Sheet? Ya betul, tahukah anda Google Sheet lebih cemerlang daripada Google Translate? Ini caranya :
- Wujudkan sheet baru. Akses melalui telefon, tablet atau komputer peribadi anda
- Buat 2 sel. Sel pertama bahasa yang diguna dan sel kedua bahasa yang ingin diterjemahkan.
- Masukkan formula GOOGLETRANSLATE(cell with text, “source language”, “target language”) di sebelah sel kedua. Formula tersebut akan menjadi =GOOGLETRANSLATE(“A2″,”ms”,”en”). Contoh seperti di bawah.
Gif menunjukkan tutorial untuk menterjemah bahasa menggunakan Google Sheet
Salin formula ke semua sel. Formula ini berfungsi untuk semua bahasa yang disokong oleh Google Translator. Anda hanya perlu mengetahui kod 2 huruf untuk bahasa tersebut, yang boleh anda temui dalam senarai ini.
- Selepas melancong – Jadikan Google Sheet sebagai jadual pengiraan bajet anda. Ia juga boleh membantu anda mengawasi bajet pelancongan anda.
SAMBUNG DAN KONGSI
Perkara paling menarik tentang Google Sheet ini adalah ia satu perisian yang dapat dikongsi bersama rakan-rakan atau keluarga anda. Jadi percutian anda lebih menarik dengan akses kepada rujukan maklumat berkenaan percutian anda di Google Sheet.
PERISIAN RANCANGAN DENGAN GOOGLE SHEET
Ada yang berpendapat sebaik-baik perancangan untuk melancong adalah pelan yang tak dirancang. Namun, merancang perjalanan dan aktiviti anda semasa berada ditempat asing akan dapat membantu memberikan pengalaman yang lebih manis. Manfaatkan penggunaan Google Sheet dan jadikan ia tempat rujukan maklumat pelancongan anda. Sambung, kongsi dan nikmati.
Selamat mencuba dan selamat bercuti!