“Mana kau tahu hotel kat situ 5 Star? Aku hari tu ada book online satu hotel ni, dia claim 5 Star tapi bila aku sampai aircond pun takde beb. Bukan aircond je tingkap pun takde, kena scam aku.”
Sama ada anda pernah mengalaminya sendiri atau anda pernah dengar cerita kesian rakan-rakan yang mempunyai pengalaman buruk ketika melancong. Tapi apa je yang boleh dibuat untuk urus jangkaan dan sahkan tempat yang bakal anda lawati dan penginapan itu betul-betul seperti yang digambarkan dalam talian?
Virtual Tour lah jawapannya. Jom kita ketahui apa itu Virtual Tour dan macam mana ia boleh bantu pembekal servis pelancongan dan para pelancong itu sendiri!
Chop, Virtual Tour ni Apa?
Virtual Tour merupakan lawatan maya sesebuah tempat menggunakan gambar atau video yang ditangkap secara panorama atau 360º. Ciri ini dah pun digunapakai dalam pelancongan terutamanya di luar negara dan ia memberi impak yang tinggi untuk meningkatkan tempahan.
Jadi apa platform yang boleh pelancong dan juga pembekal khidmat guna untuk tingkatkan pengalaman melancong yang lebih baik?
Google Street View
Pernah tak anda guna satu ciri Google ini untuk lihat rumah sendiri? Ataupun anda pernah ternampak satu kereta yang mengeliling satu kawasan perumahan tapi atas bumbungnya ada kamera pelik? Ciri itu dipanggil Google Street View di mana anda boleh melihat mana-mana lokasi jalan di dunia yang telah Google dan penyumbang sukarela rekodkan. Ada yang masuk ke dalam banggunan juga! Itu yang kadangkala anda boleh tengok gambar orang sedang berjogging di tepi jalan, atau juga ahli keluarga anda yang sedang menyiram pokok. Anda boleh lihat cara menggunakannya melalui GIF di bawah.
Selain daripada aplikasi Google Street Review, anda boleh cuba dengan tekan link ni, dan cari destinasi yang anda ingin tuju.
WIN-WIN SITUATION – PARA PELANCONG & PENYEDIA PERKHIDMATAN
Okay, boleh tengok jalan. Faham. Tapi apa yang Google Street View ini boleh bantu pelancong dan pembekal khidmat? Jom kita tengok.
PARA PELANCONG DARI DALAM DAN LUAR NEGARA
#1 Elak Kecewa – Tahu Keadaan Sebenar
Penting untuk anda elak situasi seperti dialog di atas. Jadi anda boleh tahu keadaan sebenar di lokasi sama ada hotel, tempat makan, tempat tarikan pelancong dan sebagainya. Perkara ini boleh buat anda urus jangkaan masing-masing. Tak adalah kecewa bila sampai nanti.
Tak perlu bazir minyak dan tenaga untuk recce tempat. Mudah untuk buat research di lokasi luar negara dan juga pelancong luar untuk datang ke Malaysia.
#2 Merancang dengan lebih baik
Bila anda dapat gambaran sebenar, mudah nak buat perancangan. Kalau anda memilih untuk memandu, dah boleh lihat kat mana nak parking, adakah ruang parking besar atau kecil dan sebagainya. Anda juga boleh tengok sama ada kawasan yang ingin dikunjungi mesra kanak-kanak atau orang tua.
Jenis & lokasi pengangkutan awam turut boleh disemak terlebih dahulu dan juga ‘exit route’ sekiranya bencana melanda.
#3 Lokasi OOTD
Ini pula penting bagi yang suka menangkap gambar. Meriahlah media sosial masing-masing nanti. Jadi anda dah boleh recce melalui Google Street View di tempat-tempat yang anda dah target untuk mengambil gambar dan macam mana nak ke sana nanti.
PENYEDIA KHIDMAT PELANCONGAN
#1 Tingkatkan Trafik dan Tempahan Web
Wah ramai dah klik! Dah terbukti! 62% pelawat lebih berminat dengan lokasi, kedai, penginapan yang mempunyai gambar statik dan gambar 360 darjah (sumber: Google).
Sebanyak 41% carian bisnes di Google Maps akan pergi ke lokasi secara fizikal.
Jadi ini adalah petanda yang baik untuk pemberi khidmat meluaskan lagi medium pasaran menggunakan Google Street View.
#2 Sokong Perjalanan Pelanggan
Pengalaman dari jauh. Lawatan maya dapat membantu pelanggan anda untuk membuat keputusan dengan lebih pantas untuk menempah servis anda tak kira hotel, rumah inap, aktiviti pelancongan dan sebagainya
anda juga boleh menawarkan Virtual Tour bagi mereka yang tak dapat ke lokasi pelancongan.
Terutamanya bagi yang ada kekangan kesihatan atau masa. Ini pula luar dari skop Google Street View di mana anda boleh mengupah jurufoto yang arif dengan penggambaran 360º dan memuatkan lawatan maya di laman web perniagaan anda.
Antara satu contoh yang ada ialah LokaLocal. Laman web tersebut mempunyai 189 lawatan maya di Malaysia. Wah Malaysia pun dah ada Virtual Tour!
#3 Tingkatkan Jangkauan Strategi Pemasaran Hotel Anda
Bantu SEO. Apa tu? Search Engine Optimization. Kalau anda boleh conquer ni, lagi ramai akan lawat laman web anda. Lawatan interaktif ini boleh dikongsi di laman web dan media sosial anda (Facebook, Twitter, Instagram dan YouTube). Dalam pada itu, peningkatan SEO akan terjadi. Semakin ramai pelanggan yang ingin berinteraksi dengan anda.
Contohnya, kepada mereka yang tertarik kepada aktiviti selaman skuba, persekitaran marin yang bersih dan kemewahan hidup pulau, boleh buat carian yang berkenaan dan lihat Virtual Tour, contohnya di Maldives.
Bestnya! Pengguna suka peniaga pun untung
Jelas lagi bersuluh yang Google Street View ini sememangnya membantu buat para pelancong dan juga pembekal khidmat. Jika anda dah mula nak survey destinasi pelancongan seterusnya, boleh layari Google Maps, pilih lokasi, tekan “Layers” dan pilih “Street View” (seperti tangkap layar di bawah). Manakala untuk pembekal khidmat, boleh layari laman web ini untuk mula.
Mudahkan untuk kita buat research dan betul-betul yakin dengan pilihan? Semua ini dimungkinkan dengan ketersambungan jalur lebar yang stabil dan capaian 5G yang semakin meluas.
Selamat melancong!