‘CIKMAK’.
“Best jugak kalau nak letak CikMak as branding bisnes Nasi Lemak aku. Nak kena copyright ni karang kena tiru pulak. Eh tapi apa beza copyright dengan trademark, ke ada benda lain lagi, ala peninglahhh”, kata Sarah.
Mungkin anda sama seperti Sarah yang keliru dengan tanda dagangan (trademark ™ ®), hakcipta (copyright ©), atau tak pasti apa lagi jenis-jenis harta intelek dan yang mana sesuai untuk keperluan mereka.
Jadi jom kenali apa itu tanda dagangan, hak cipta dan paten dalam harta intelektual.
APA ITU HARTA INTELEK
Harta intelek atau Intellectual Property, Ip adalah harta yang tak boleh disentuh (intangible), sesuatu yang dicipta di minda dan perlukan proses kepintaran berfikir. Termasuklah:
- Copyright (Hak Cipta): Ekspresi idea seperti buku cerita, filem, novel, lukisan atau muzik.
- Trademark (Tanda Dagangan): Jenama atau logo untuk melambangkan produk atau perkhidmatan.
- Industrial Design (Rekaan Industri): Penampilan luar produk seperti botol coke.
- Patent (Paten): Penciptaan produk atau proses yang memberi penyelesaian kepada masalah.
APA MANFAAT DAFTAR HARTA INTELEK NI?
- Hak milik eksklusif yang membantu perniagaan lebih baik seperti membantu anda memulakan perniagaan baru dengan cap dagangan yang sama.
- Membangunkan strategi perlindungan IP yang berkesan yang mungkin melibatkan pelbagai pilihan perlindungan IP. Sebagai contoh, perlindungan paten untuk produk, mendaftarkan reka bentuknya dan membangunkan strategi penjenamaan berdasarkan tanda dagangan berdaftar.
- Membolehkan anda menukar pengetahuan atau idea anda menjadi aset yang mampu untuk diserahkan, pemindahan dan pelesenan. Seperti franchising Daily Fresh.
- IP boleh digunakan sebagai pengaruh untuk menarik pelabur, juga sebagai cagaran untuk mendapatkan kewangan.
JENIS-JENIS HARTA INTELEK
#1 Tanda Dagangan (Trademark ™ & ®)
- Apa yang boleh didaftar: Warna, bunyi, perkataan, logo, slogan, hologram, pergerakan.
- Siapa: Individu, ramai pemilik, organisasi.
- Beza ® & ™: ™ (dalam proses pengesahan pendaftaran), ® (sudah sah berdaftar).
- Prosedur Pendaftaran: Boleh lihat dalam poster atau video ini.
#2 Hak Cipta (Copyright ©)
- Hak Cipta ialah perlindungan yang diberikan kepada pengarang, pemilik hak cipta dan pelaku karya hak cipta dan persembahan mereka seperti yang ditetapkan di bawah Akta Hak Cipta 1987.
- Contoh: buku cerita, filem, novel, lukisan atau muzik.
#3 Paten (Patent)
- Paten adalah hak eksklusif yang diberikan untuk ciptaan, yang merupakan produk atau proses menyediakan. Secara umum, cara baharu untuk melakukan sesuatu, atau menawarkan penyelesaian teknikal baharu kepada masalah.
- Apa yang boleh dipatenkan:
- Baru, yang bermaksud bahawa ciptaan itu tidak didedahkan secara terbuka dalam sebarang bentuk, di mana-mana sahaja di dunia.
- Melibatkan langkah inventif, iaitu ciptaan mestilah tidak jelas kepada seseorang yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman dalam bidang teknologi ciptaan; dan
- Berkenaan industri, bermakna ia boleh dihasilkan secara besar-besaran.
- Contoh: Produk Integrated Solar Dryer (INSOLER) oleh Prof Ts Dr Arham Abdullah.
#4 Rekaan Industri (Industrial Design)
- Reka bentuk perindustrian ialah aspek hiasan atau estetik sesuatu produk. Reka bentuk mungkin terdiri daripada ciri tiga dimensi seperti bentuk dan konfigurasi produk, atau ciri dua dimensi, seperti corak dan hiasan.
- Ciri reka bentuk mesti digunakan pada produk melalui sebarang proses atau cara perindustrian yang mana ciri dalam produk siap menarik perhatian. Contoh boleh dilihat pada rekaan iPhone seperti gambar di bawah.
- Tutorial: Lawati MyIPO sini.
CONTOH PRODUK
Apple iPhone – Boleh dilihat pada telefon pintar iPhone ini. Malah, setiap satu produk atau perkhidmatan mampu mempunyai lebih daripada satu hak harta intelek..
APA PENTINGNYA HARTA INTELEK?
Tak lain tak bukan untuk memupuk inovasi. Tanpa perlindungan idea, perniagaan dan individu tidak akan mendapat manfaat sepenuhnya daripada ciptaan mereka dan akan kurang memberi tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan.
HARTA INTELEK YANG LAIN
Selain 4 contoh biasa di atas, ada lagi seperti Geographical Indication yang bermaksud tanda yang digunakan pada produk yang mempunyai asal geografi tertentu dan mempunyai kualiti atau reputasi yang disebabkan oleh asal produk.
Sebagai contoh:
- Lada Hitam Sarawak (Sarawak Pepper)
- Songket Terengganu
- Mangga Harum Manis Perlis
- Gamat Langkawi
- Beras Bario
Juga reka bentuk susun atur litar bersepadu seperti cip dan mikrocip yang digunakan dalam industri semikonduktor. Komponen penting dalam peranti elektronik moden.
LINDUNGI HARTA INTELEK ANDA
Dengan sambungan Internet meluas, penggunaan media digital semakin berkembang dan terus berevolusi. Semestinya pengetahuan tentang harta intelek sangat penting bukan saja penting untuk perniagaan dan industri kreatif malah untuk individu sebagai pengguna media harian sebagai pengetahuan am.
Kerajaan juga sangat menyokong perlindungan harta intelek melalui kewujudan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO). Jadi sebagai penggiat seni dan usahawan, sangat berguna untuk anda ambil kira perkara ini dalam melindungi karya dan juga inovasi yang dicipta!