Main Game Online Guna Wi-Fi Ke Tarik Kabel??? 

February 28, 2023

Sukan

“Adoi Ping merah pulak!!!!!” 

Ini adalah mimpi buruk kepada semua gamers diluar sana. Ping merah atau Ping turun akan mengganggu kelancaran permainan anda. 

Istilah ‘ping’ adalah reaksi masa nyata antara sambungan Internet pengguna dengan sistem pelayan (server) permainan berkenaan dan lebih tinggi bacaan ping lebih lambat kadar maklum balas permainan.

Ikon menunjukkan ping wifi berwarna merah

Jadi timbullah perdebatan tentang penggunaan sambungan kabel Ethernet atau LAN dan sambungan tanpa wayar Wi-Fi untuk mengelakkan ‘lag’ semasa bermain game. 

Anda ‘Team Ethernet’ atau ‘Team Wi-Fi’? Jom mulakan pertempuran untuk tahu jenis sambungan mana yang lebih baik? 

Ilustrasi menunjukkan sambungan menggunakan kabel LAN dan sambungan Wi-Fi

TEAM Wi-Fi vs TEAM ETHERNET

Sambungan Wi-Fi adalah sambungan yang digunakan di kebanyakan rumah. Ia menggunakan router untuk menghantar isyarat tanpa wayar yang anda sambungkan dengan peranti anda. Sambungan Ethernet (atau sambungan berwayar) menggunakan kabel Ethernet (Cat 5, Cat 5e..dll.) yang disambungkan secara plug in ke peranti anda untuk menyambungkannya ke Internet.

KELEBIHAN Wi-Fi DAN ETHERNET

Wi-Fi 

Ilustrasi menunjukkan seorang wanita sedang bermain game di telefon

Konsol dan komputer riba moden mempunyai akses segera kepada sambungan tanpa wayar, membolehkan pemain membawa permainan mereka bersama dan bermain di pelbagai lokasi. Yang penting ada akses dan berada dalam lingkungan capaian dan jaringan kepada pusat akses wireless iaitu router.  Pemain tidak perlu risau tentang tersadung wayar yang berselirat atau menyediakan sambungan terus ke router. Jadi selling point sambungan Wi-Fi ini sudah tentu berkaitan keselesaan bermain game di konsol. Main game sambil baring pun boleh. 

Ethernet 

Ilustrasi menunjukkan seseorang sedang bermain game di komputer peribadi

Sambungan Ethernet  memberikan pemain akses kepada kelajuan maksimum, yang akan mengurangkan masa yang diperlukan untuk memuat turun dan kemas kini permainan baharu dan melaksanakan tugas lain (bergantung pada ISP pilihan pemain dan kelajuan Internet yang tersedia di kawasan mereka). Ethernet merupakan “plug and play,” memberikan pemain akses kepada sambungan Internet yang stabil tanpa perlu melalui tetapan tertentu. Secara umumnya lebih mudah untuk hanya memasangkan kabel ke port yang sesuai pada peranti atau konsol.

KEKURANGAN Wi-Fi DAN ETHERNET

Wi-Fi

Terdapat beberapa kekurangan apabila memilih sambungan Wi-Fi apabila bermain game. Pemain menghadapi risiko “kehilangan sambungan mereka” kerana sambungan terputus atau  tidak berfungsi. Walaupun peranti tanpa wayar zaman sekarang agak stabil, masih ada kemungkinan untuk kehilangan dan terputus signal, terutama bila sambungan Wi-Fi dikongsi dengan pelbagai peranti lain. 

Ilustrasi menunjukkan sambungan Wi-Fi yang terputus di telefon

Kelemahan terbesar menggunakan Wi-Fi untuk bermain games ialah kehilangan kelajuan Internet secara tiba-tiba. Pemain yang memilih untuk menyambung secara Wi-Fi bukan sahaja menghadapi risiko kehilangan isyarat dan gangguan, tetapi juga berkemungkinan mengalami lag, masa loading yang lebih lama dan speed yang lebih perlahan apabila mengemas kini dan memuat turun fail permainan. Mesti ada yang pernah frust sebab sambungan terputus semasa tengah bermain game kan? 

Ethernet

Ethernet juga mempunyai kelemahannya sendiri. Sebagai contoh, pemain perlu memastikan mendapat akses kepada modem Internet atau router apabila menyambung terus melalui Ethernet. Jadi kena pastikan ada kabel yang panjang untuk sambungkan ke komputer anda. Nak-nak lagi port LAN (soket LAN di dinding) jauh daripada peranti anda.

Gambar menunjukkan kabel ethernet atau LAN

Ini membawa kepada kekurangan kedua iaitu pengurusan kabel. Bila perlukan kabel yang panjang, anda harus pastikan ia tidak berselerak untuk keselamatan. Juga ketahanan kabel akan menjadi isu kerana kabel boleh rosak atau bengkok. Apabila ini terjadi, sambungan Internet pasti akan terganggu.

WAYAR ATAU TANPA WAYAR? 

Ilustrasi menunjukkan seseorang sedang memilih yang mana satu

Sebenarnya bergantung kepada jenis permainan yang anda main. Kebanyakan konsol memang menyokong Wi-Fi dan kebanyakan telefon pintar juga sudah tersedia dengan teknologi sambungan Wi-Fi yang terkini –  Wi-Fi 6. Jadi jangan risau untuk bermain mobile games tanpa sambungan wayar Internet. Contoh permainan seperti Mobile Legends, Pokemon Go dan banyak lagi. 

Tetapi jika anda jenis PC gamers, seharusnya memanfaatkan ketersambungan Ethernet anda untuk memastikan kelancaran permainan. Antara contoh permainan seperti DOTA, WarCraft dan lain-lain. 

PILIH IKUT KESESUAIAN

Jadi tamatlah perang antara Wi-Fi dan Ethernet. Kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kekurangan sendiri. Pilihan di tangan anda untuk memilih jenis sambungan Internet untuk bermain game online.  Jaringan dan capaian kedua-dua sambungan Internet ini saban tahun akan bertambah baik jadi jangan risau tentang sama ada perlu guna sambungan Wi-Fi atau Ethernet. 

Kalau tak dapat buat pilihan juga, gunalah dua-dua. 

Penulisan oleh Arshad Adam

Kongsi maklumat ini
Kandungan Berkaitan
Video Games Malaysia pun Gempak!

Sukan

March 16, 2023

Main Game FPS Cerdaskan Minda?

Sukan

March 14, 2023

Nak Beli Phone Gaming? Ini Specs yang Kena Tahu.

Sukan

March 7, 2023

Main Game Online Guna Wi-Fi Ke Tarik Kabel??? 

Sukan

February 28, 2023

Skip to content