Esport – Ingat Player Je Boleh Buat Duit?

February 27, 2023

Sukan

“Eh Mat, kalau tak salah aku kan, kau kerja dalam bidang esport. Tapi tak pernah tengok kau main game pun?”

“Ingat bidang esports ini main game je ke? Banyak lagi la kerja boleh buat”

Mesti anda pun pernah terfikir persoalan sama kan? Bidang esports ini mesti kena terer main game dan jadi pro player je ke? Tak ada peluang kerja yang lain ke memandangkan bidang ini luas? Jawapannya ada, malah banyak peluang kerjaya yang boleh diterokai dan dicuba dalam bidang ini. 

Sama seperti sukan lain yang memerlukan tenaga kerja yang ramai dari segi produksi dan kreatif, begitu juga dengan bidang esports. Tetapi bila cakap pasal esports mesti ramai  yang hanya tahu posisi player saja. Tapi apa lagi sebenarnya pekerjaan yang terlibat dengan esports ni? Jom baca kot-kot ada yang berminat? 

Ilustrasi menunjukkan beberapa pekerja dalam bidang esports 

BUKAN HANYA UNTUK PLAYER SAHAJA, INI 7 PELUANG KERJAYA BIDANG ESUKAN

1. SHOUTCAST / PENGULAS

Shoutcaster ialah  individu yang mengulas perlawanan eSports, memberikan ulasan permainan demi permainan atau pandangan analitikal sama ada dari belakang meja atau dengan berada di pentas perlawanan. 

Sama seperti sukan fizikal yang lain, shoutcaster perlulah mempunyai pengetahuan meluas tentang esports supaya dia boleh mengulas dan memberikan maklumat berdasarkan gameplay pasukan yang sedang bermain.

Shoutcaster bertanggungjawab memberikan maklumat yang tepat dan pada masa yang sama menghiburkan penonton. 

Gambar menunjukkan Sunfrost – seorang shoutcaster esports di Malaysia

2. EVENT MANAGER / PENGURUS ACARA

Esports event manager atau pengurus acara bertanggungjawab dalam memastikan kelancaran dan kejayaan sesebuah pertandingan esports. Keupayaan untuk bertenang dan membuat keputusan yang cepat dan tepat tanpa tekanan adalah kunci untuk memastikan acara menyeronokkan untuk peminat dan pemain. 

Antara skop kerja seorang pengurus acara adalah memastikan kelancaran acara, perancangan dari awal sehingga tamat sesebuah acara, mencari lokasi atau tempat, mendapatkan penaja serta banyak lagi. 

Gambar menunjukkan salah satu kejohanan esports yang berlangsung di Malaysia

3. PENGADIL

Kalau dah ada game, pemain dan pertandingan, mestilah kena ada pengadil. Pengadil yang bertugas sebagai juri kepada game ini penting supaya keputusan yang berkualiti dapat dihasilkan.

Sesiapa sahaja yang diberi kuasa oleh JAWATAN KUASA untuk mengawal selia pertandingan mengikut syarat dan peraturan akan dipanggil “admin” atau“pengadil”.  Mereka bertanggungjawab dalam memastikan perjalanan perlawanan berjalan dengan lancar dan merupakan orang pertama untuk dihubungi jika berlaku sebarang masalah semasa perlawanan berlangsung. 

Gambar menunjukkan seorang pengadil esports sedang mengadili perlawanan

4. Social Media Specialist/Campaign Manager/Pengurus Kempen

Pengurus Kempen berada di belakang tabir, mencipta inisiatif baharu, mengukur hasil dan membangunkan strategi baharu untuk mempromosikan perniagaan. Mereka akan menggunakan pengalaman pemasaran mereka untuk mencipta langkah dan sasaran yang sesuai untuk diikuti oleh pasukan anda, jadi kemahiran komunikasi dan perundingan adalah penting. Pengurus kempen akan bersama social media specialist dalam membangunkan jenama, tak kira sukan ataupun kejohanan. 

Gambar menunjukkan antara kempen yang dijalankan untuk esports

5. Pereka Grafik

Pereka Grafik mencipta dan mereka visual-visual yang membantu memasarkan permainan dan pasukan masing-masing. Skop kerja seperti rekaan grafik pek permainan, paparan dalam kedai dan laman web, iklan dan sepanduk acara, jenama pasukan dipromosikan melalui pelbagai media untuk memastikan kejohanan atau pasukan dikenali. 

Sesetengah Pereka Grafik bekerja secara tetap atau bekerja secara freelance seperti kerja kontrak daripada penerbit atau agensi permainan dalam industri permainan untuk mempromosikan produk, acara atau saluran media sosial seperti YouTube dan Twitch.

Gambar menunjukkan visual grafik permainan Free Fire bertemakan Money Heist 

6. Journalist/Penulis Komuniti

Kalau anda seorang yang aktif dalam komunti esports dan ada bakat menulis, boleh cuba jadi penulis komuniti untuk esukan ini. Anda akan bertanggungjawab untuk menulis tentang apa-apa perkembangan berkaitan esukan di semua peringkat. Kandungan pula boleh digarap mengikut kesesuaian seperti pendapat sendiri, berkongsi review permainan baharu dan menyuarakan pendapat dalam komuniti. 

Setelah mahir dalam industri ini, anda boleh cuba jadi wartawan pula. Jadi boleh keluar cover acara untuk “ketuk story” dan bekerja di lapangan. 

 Antara wartawan esport yang pernah membincangkan hal ini dengan spesifik adalah Hazeil Md Nor dalam sesi live nya iaitu Intro in E-sports Journalism.

Gambar menunjukkan Encik Hazril Md Nor, seorang wartawan esukan

7. Pengurus Pasukan

Juga dikenali sebagai Pengurus Organisasi yang  menentukan hala tuju pasukan, melaksanakan pendekatan inovatif untuk memacu pasukan ke hadapan sesuai dengan perkembangan industri. 

Kemahiran interpersonal, analitikal, dan pembuat keputusan  yang baik akan membantu anda membangunkan pasukan anda. Pengurus Pasukan Esports yang berjaya perlu mengetahui cara membina pasukan yang merangkumi pemain profesional dan juga kakitangan sokongan yang lain. 

Gambar menunjukkan seorang pengurus sukan sedang berbincang dengan pasukannya

PELUANG LUAS BIDANG ESUKAN

Jadi, anda dah tahulah apa nak buat jika berminat dengan salah satu jawatan di atas. Silap-silap boleh tukar karier! Sebenarnya banyak lagi karier yang ada dan kalau nak cuba boleh cari jawatan kosong di laman web seperti Indeed. Boleh juga follow media sosial pasukan-pasukan Malaysia untuk perkembangan terkini. 

Industri esukan di Malaysia akan bertambah maju dengan penganjuran kejohanan-kejohanan peringkat nasional dan antarabangsa. Acara esport memerlukan kestabilan Internet yang sangat baik. Tanpanya, tergendala acara. Itu pentingnya infrastruktur yang telah disediakan kerajaan untuk memastikan kelancaran acara yang memerlukan penggunaan Internet yang berkapasiti besar.

Penulisan oleh Qareena Ramlee

Kongsi maklumat ini
Kandungan Berkaitan
Video Games Malaysia pun Gempak!

Sukan

March 16, 2023

Main Game FPS Cerdaskan Minda?

Sukan

March 14, 2023

Nak Beli Phone Gaming? Ini Specs yang Kena Tahu.

Sukan

March 7, 2023

Main Game Online Guna Wi-Fi Ke Tarik Kabel??? 

Sukan

February 28, 2023

Skip to content