Dari Sekeping Cakera ke Sekelompok Awan 

February 22, 2023

Teknologi

“Disket” – berapa lama yang tahu ataupun pernah dengar perkataan ini? 

Bermula dengan disket – proses penyimpanan, pemindahan dan perkongsian data telah mengalami evolusi yang jelas dari semasa ke semasa. 

Gambar menunjukkan evolusi penyimpanan fail

Evolusi teknologi komputer yang berkembang dengan pesat membuatkan proses penyimpanan data juga ikut terevolusi seiring dengan teknologi. Kalau dulu, satu komputer boleh memakan ruang sehingga satu kelas, sehingga kini kewujudan ultra notebook yang senipis buku nota. 

Begitu juga dengan storan data yang sentiasa mendorong penemuan baharu sepanjang tahun bukan sahaja dalam kapasiti storan keseluruhan tetapi juga dalam format yang berbeza dan lebih cekap.

Jom kita tengok evolusi penyimpanan data dari fizikal ke digital. 

1. Disket / Floppy Disk atau Cakera Liut 

Gambar menunjukkan seorang tengah memegang cakera liut atau floppy disk

“Okay semua, hari ini Cikgu nak ajar macam mana nak save file dalam disket.”

Cakera liut adalah peranti storan mudah alih yang paling awal  muncul untuk pasaran terbuka. Antara ciri-cirinya yang nipis dan ringan membuatkan ia digunakan secara meluas pada zaman 80an dan 90an dan disokong oleh pelbagai jenis komputer seperti IBM PC, Apple II dan Windows PC. Bermula dengan saiz yang besar sebesar 8 inci dan semakin mengecil dengan saiz 5.25 dan 3.5 inci, namun mempunyai saiz storan yang sama iaitu 1.44MB sahaja, sehingga cakera zip (zip disk) diperkenalkan yang boleh memuatkan sehingga 250MB data.

2. Compact Disk atau Cakera Padat

Gambar menunjukkan cakera padat

“Weh pinjam CD Linkin Park, aku nak burn”

Perkembangan media penyimpanan compact disk (CD) bermula pada tahun 1980-an, namun secara rasmi dipasarkan pada akhir tahun 1990. Peningkatan kapasiti yang cukup signifikan menjadi salah satu faktor kenapa pengguna beralih dari floppy disk kepada CD. Bayangkan saja, dari kapasiti maksimum 1.44MB berjaya ditingkatkan sehingga 500MB! Tak berhenti sampai di situ saja, compact disc terus dikembangkan menjadi digital video disc (DVD) yang mampu  menyimpan sehingga 4.7GB! Evolusi CD ini diikuti dengan kemunculan DVD (4.7GB – 8.7GB), Blue-ray Disc (BD) (25GB – 50GB) dan lain-lain medium yang berbentuk cakera. Namun masalah utama bagi cakera padat ini adalah ia memerlukan pemain/pemacu cakera optikal khas (CD Player/Driver) yang sesuai untuk membaca dan menulis data ke dalamnya.

3. USB Flash Drive atau Pemacu Kilat

Gambar menunjukkan 3 buah pemacu kilat

“Kak, saya nak print assignment, akak buat 2 copy eh. Boleh cari kat folder ‘Lola’. Ni thumbdrive dia”

Cue musik Negaraku. – Pencipta asal pemacu kilat USB adalah warganegara Malaysia iaitu Pua Khein-Seng yang juga dikenali sebagai “Bapa Pen Drive”. Pemacu kilat USB atau nama lainnya USB drive, USB stick, thumb drive, pendrive, flash-disk, USB memory dan sebagainya adalah peranti storan yang menggunakan ‘ingatan kilat’ dengan antara muka USB. Dengan saiznya yang kecil tetapi berkapasiti besar, tahan lasak dan murah, mempunyai pelbagai rekaan dan menggunakan konsep plug and play,  serta mudah untuk dibawa ke mana sahaja menjadikan ia antara media perkongsian dan pemindahan data yang sangat popular di dunia. Bermula dengan storan sekecil 8MB, kini ia banyak dijual dalam saiz 16GB, 32GB, 64GB dan 128GB, malah ada yang sebesar 1TB. Mesti anda juga pernah mempunyai beberapa buah USB drive kan? 

4. External Hard Disk atau Cakera Keras

Gambar menunjukkan seseorang sedang memegang cakera keras

“Bob, working file video aku nak save kat mana? 10GB file ni. Ada hard disk tak?”

Hard Disk External – kepingan hard disk yang selama ini terdapat dalam bahagian PC dan komputer riba ini boleh dipasang dan dicabut dengan mudah. Kestabilan dan kapasitinya yang sangat besar, menjadi salah satu alasan gamer dan pekerja kreatif memilih Hard Disk External sebagai media penyimpanan. Pengguna kini boleh menyimpan data yang lebih besar sehingga mencecah  4TB dan gunakan ia di mana-mana komputer dengan hanya sambungan USB. Evolusi hard disk drive (HDD) ini diikuti dengan solid state drive (SSD) di mana ia tidak lagi menggunakan teknologi piring magnetik sebaliknya memori kilat (flash memory) dengan prestasi yang lebih laju, lasak dan senyap. Penggunaannya masih meluas pada zaman ini oleh kerana teknologi SSD yang semakin laju.

5. Cloud Storage atau Penyimpanan Awan

Gambar menunjukkan penyimpanan awan atau cloud storage

“Alamak, tak cukup storage. Gambar banyak sangat dalam phone. Transfer kat Cloud lah.”

Ruang simpanan awan atau cloud storage kini menjadi pilihan utama bagi pengguna teknologi zaman sekarang. Ini kerana ia pengguna tidak memerlukan medium storan tambahan untuk menyimpan, berkongsi dan memindahkan data dari satu peranti ke satu peranti yang lain. Pengguna cuma perlu memuat naik data ke perkhidmatan storan awan di satu peranti dan kemudian memuat turun data tersebut di peranti yang lain. Kini semua data yang diolah mulai diproses dalam sebuah server online yang boleh  diakses bila-bila masa dan  di mana saja selagi terhubung dengan internet. Tambahan pula dengan infrastruktur jalur lebar yang tersedia, senang je nak muat naik fail-fail besar. Baca tentang Cloud Storage dengan lanjut di SINI.

DARI SEKEPING CAKERA KE SEKELOMPOK AWAN

Jika ditunjukkan cakera liut ke anak-anak generasi Z, mungkin mereka akan bertanya, “kenapa nak 3D print ikon “save” ni?”. Kebanyakan mereka mungkin tak tahu yang tanpa disket, tiadalah teknologi storan awan sekarang ini. Namun kepenggunaannya storan fizikal masih meluas – terutama External Hard Disk. Tak lupa juga memory card. Ia juga masih digunakan secara meluas dalam kalangan fotografer dan pocket console player. 

Akan datang teknologi storan akan lebih berkembang dengan kehadiran inovasi yang lebih maju. Ini juga disebabkan faktor keperluan storan digital yang makin meningkat dengan gaya hidup & kerja yang menuju ke arah digitalisasi. Jadi anda harus sentiasa cakna dengan perkembangan teknologi storan yang boleh membantu anda untuk bekerja lebih efisien dan juga dalam pengurusan storan peribadi. 

Itulah pentingnya untuk kita memperkasakan literasi digital untuk kemudahan bersama! Selamat menyimpan!

Penulisan oleh Arshad Adam

Kongsi maklumat ini
Kandungan Berkaitan
Besar Kecil Besar Kecil. Website Apa Ni?

Teknologi

March 16, 2023

Dulu Tak Mampu, Sekarang Mampu Milik - Internet

Teknologi

March 15, 2023

FREE Online Tools Untuk Tolong Cikgu!

Teknologi

March 10, 2023

5 Telefon Legend Yang Semua Pernah Guna

Teknologi

March 10, 2023

Skip to content