“Mata lebam tengok bola lah tu semalam”.
Sepanjang November dan Disember tahun lalu memang dialog seperti ini menjadi siulan orang ramai. Piala Dunia FIFA Qatar 2022™ ialah acara yang paling ditunggu-tunggu oleh peminat bola sepak. Acara ini berlangsung dari 20 November hingga 18 Disember 2022. Terdapat 32 pasukan yang bertanding dalam perlawanan ini. Pasukan Argentina menjadi pemenang yang berjaya mengangkat trofi pada edisi kali ini.
Berbeza dengan penganjuran sebelum ini yang ditunggu-tunggu oleh peminat sukan bola sepak, piala dunia tahun lalu menyaksikan pelbagai inovasi teknologi yang digunakan semasa penganjuran. Siapa kata teknologi dengan sukan tak boleh berdiri seiring?
Ini 5 teknologi yang membantu memberikan pengalaman menonton, bermain dan penganjuran yang lebih mantap. Jom sama-sama kita tengok.
INOVASI TEKNOLOGI
5 teknologi yang digunakan di FIFA Qatar World Cup 2022 :
#1 BOLA RASMI AH RIHLA
Bola sepak ke-14 berturut-turut yang dibangunkan oleh Adidas mempunyai sensor di dalam bola yang boleh mengesan kelajuan puncak permainan. Teknologi ini dikatakan mampu menyokong prestasi sistem VAR (video assistant referee) dengan menyediakan data yang tepat, seperti impak dan pergerakan setiap sepakan dan tandukan di atas padang. Bola pun dah macam ada minda sendiri.
#2 VAR (VIDEO ASSISTANT REFEREE)
Sistem pembantu pengadil video atau pegawai perlawanan video (Video Match Officials, VMO) dalam bola sepak digunakan dalam Piala Dunia FIFA 2018. Penggunaan pembantu pengadil video (VAR) ialah alat sokongan untuk pegawai Piala Dunia FIFA Qatar 2022. Sepanjang perlawanan, pasukan VAR akan sentiasa memeriksa kesilapan yang jelas dan nyata berkaitan perlawanan. Pasukan VAR berkomunikasi dengan pengadil hanya untuk kesilapan tersebut atau insiden serius yang terlepas mata pengadil di padang.
#3 TEKNOLOGI PENDINGIN HAWA
Qatar yang terkenal dengan cuaca padang pasir bertukar sejuk dengan teknologi pendingin hawa yang dipasang di stadium. Cara teknologi ini berfungsi adalah melalui pusat tenaga berhampiran stadium yang membawa udara sejuk melalui paip ke stadium. Udara sejuk ditolak masuk ke padang permainan dan ruang tempat duduk penonton. Sistem ini menggunakan tempat penebat dan penyejukanuntuk kekal mesra alam.
#4 FIFA PLAYER APP
FIFA telah membangunkan Aplikasi Pemain FIFA. Aplikasi ini dicipta berdasarkan input daripada pemain profesional dengan kerjasama FIFPRO, wakil global pemain bola sepak profesional. Aplikasi ini memberi setiap pemain akses tentang data prestasi mereka selepas setiap perlawanan tamat. Buat pertama kalinya, pemain Piala Dunia FIFA Qatar 2022 boleh mendapatkan cerapan dan memantau prestasi mereka di atas padang melalui Aplikasi Pemain FIFA.
#5 BONOCLE DAN FEELIX PALM
Ini mungkin inovasi paling mendapat perhatian daripada peminat bola dan teknologi. Bonocle dan Feelix Palm telah digunakan khas untuk peminat bola kekurangan upaya penglihatan. Bonocle ialah platform hiburan braille pertama di dunia. Ia menggunakan fungsi alih kod dan teknologi Bluetooth dan menukar kandungan digital Piala Dunia kepada braille. Ini membolehkan warga OKU penglihatan dapat mengakses kandungan dan menikmati perlawanan Piala Dunia. Felix Palm pula boleh membantu peminat OKU penglihatan dalam aktiviti mereka menggunakan teknologi sentuhan haptik. Syabas kepada pencipta teknologi ini yang inklusif kepada warga OKU.
SUKAN DAN TEKNOLOGI UNTUK SEMUA
Piala Dunia Qatar 2022 memberikan kejutan yang tidak dijangka. Terutamanya mengenai inovasi teknologi. Deretan kecanggihan teknologi benar-benar ditunjukkan pada Piala Dunia 2022 di Qatar kali ini. Dengan teknologi yang inovatif, penganjuran kali ini memberikan pengalaman yang optimum kepada pemain, penganjur dan penggemar suka bola sepak ini.
Ternyata, inovasi teknologi mampu meningkatkan sesuatu pengalaman ke arah yang lebih memuaskan, tidak kira dalam apa jua industri sekalipun.