Paranoid Browse Internet? Guna Ini

January 26, 2023

Teknologi

Ilustrasi menunjukkan simbol baik dan buruk

“Eh kau ni selamba je transfer duit online kat public Wi-Fi?”

“Alah adik aku urgent nak pakai duit. Lagipun aku kan pakai VPN”.

Pasti anda pernah dengar tentang VPN atau Rangkaian Peribadi Maya yang selalu digunakan oleh ramai orang untuk melayari internet. 

Virtual private network (VPN) adalah teknologi yang mewujudkan sambungan yang selamat dan enkripsi ke atas rangkaian yang kurang selamat, seperti Internet awam. Teknologi VPN telah dibangunkan sebagai satu cara untuk membolehkan pengguna dan pekerja pejabat mengakses aplikasi korporat dan sumber lain dengan selamat. Untuk memastikan keselamatan, data akan melalui tunnel  yang selamat dan pengguna VPN mesti menggunakan kaedah pengesahan – termasuk kata laluan, token dan kaedah pengenalan unik yang lain – untuk mendapatkan akses ke VPN.

Jom kita bandingkan kebaikan dan keburukan menggunakan VPN di bawah.

KELEBIHAN MENGGUNAKAN VPN 

#1 Melindungi Data

Ilustrasi menunjukkan data yang dilindungi

Data dalam talian bergerak dalam jarak yang jauh dan melalui pelbagai pelayan (server) apabila anda melayari web.  Ia termasuk data anda yang paling peribadi, seperti mesej peribadi, kata laluan, maklumat kewangan dan banyak lagi.  Jika tidak dienkripsikan, pihak ketiga, seperti pembekal perkhidmatan Internet  atau penjenayah siber boleh mengakses dan mengumpulkan data-data ini. Jadi VPN melindungi data anda daripada digodam. 

#2 Menyediakan Privasi Maya 

Ilustrasi menunjukkan privasi data-data

Aktiviti yang dilakukan dalam talian meninggalkan jejak (trace) yang boleh mendedahkan tentang tabiat aktiviti dalam talian anda. Terdapat banyak entiti yang boleh mendapatkan data anda, contohnya pembekal perkhidmatan Internet (Internet Service Provider, ISP). ISP sering mengintip data pelanggan mereka dan juga boleh menyampaikannya kepada pihak ketiga.  Contohnya, mereka boleh menjualnya kepada entiti komersial yang mungkin menggunakannya untuk tujuan pemasaran atau penyasaran iklan. VPN akan mengurangkan isu ini. Setelah trafik anda dienkripsikan, tiada siapa yang akan dapat mengintip aktiviti dalam talian anda. 

#3 Menukar Alamat IP

Ilustrasi menunjukkan alamat IP yang boleh ditukar mengikut lokasi

Alamat IP anda boleh digunakan untuk menjejak lokasi dan identiti anda. Setiap kali anda melawat laman web, pembekal laman web boleh melihat alamat IP anda dan boleh menggunakan maklumat tersebut dalam menjadikan anda target dalam penyasaran iklan.  Walau bagaimanapun, jika anda menggunakan VPN, data anda akan di arahkan  melalui pelayan VPN dengan alamat IPnya sendiri. Laman web yang berinteraksi dengan anda hanya akan dapat melihat alamat IP VPN, dan bukan milik anda.

KEBURUKAN MENGGUNAKAN VPN

#1 Sambungan Internet lambat

Ilustrasi menunjukkan hubungan Internet yang lemah

Proses enkripsi dan penghalaan trafik melalui pelayan jauh boleh melambatkan sambungan internet anda. Walau bagaimanapun, perkhidmatan VPN premium biasanya mempunyai protokol pantas dan infrastruktur berkuasa supaya capaian internet tidak berkurang.

#2 Sesetengah VPN tak selamat 

Ilustrasi menunjukkan data yang dicuri  

VPN percuma selalunya kurang  selamat dan berkesan. Kebanyakkan penyedia perkhidmatan menawarkan pembelian untuk servis VPN yang ditawarkan jadi jika ianya percuma, berkemungkinan penyedia perkhidmatan menggunakan cara lain untuk mendapatkan duit bagi perkhidmatan mereka.  Contoh paling mudah adalah menjual data anda kepada pihak ketiga.

#3 Tak boleh diguna di peranti tertentu

Ilustrasi menunjukkan peranti yang disekat

Walaupun kebanyakan peranti dan sistem pengendalian  popular yang serasi sepenuhnya dengan VPN, terdapat beberapa pengecualian, terutamanya apabila ia berkaitan dengan peranti rumah pintar.  Anda tak akan dapat menggunakan VPN pada TV dan konsol permainan tertentu. Jadi periksa dahulu keserasian peranti anda dengan VPN yang ingin digunakan.

PILIHAN DI TANGAN ANDA

Semestinya dengan akses kepada dunia digital yang semakin mudah, anda harus berhati-hati jika menggunakan sesebuah perisian atau perkhidmatan yang ditawarkan. Seperti VPN ini, ia mempunyai kebaikan dan keburukan tersendiri. Tugas anda untuk memeriksa dengan teliti dan membuat keputusan jika ia berbaloi atau tidak untuk digunakan. 

Dalam menikmati ketersambungan yang disediakan, literasi digital seperti risiko menggunakan sesebuah perkhidmatan amat penting untuk diambil kira.

 Jadi sentiasa berjaga-jaga dalam talian dan langgan khidmat VPN sekiranya ada keperluan.

Penulisan oleh Arshad Adam

Kongsi maklumat ini
Kandungan Berkaitan
Besar Kecil Besar Kecil. Website Apa Ni?

Teknologi

March 16, 2023

Dulu Tak Mampu, Sekarang Mampu Milik - Internet

Teknologi

March 15, 2023

FREE Online Tools Untuk Tolong Cikgu!

Teknologi

March 10, 2023

5 Telefon Legend Yang Semua Pernah Guna

Teknologi

March 10, 2023

Skip to content