“Aku cam terfikir kan, kita mesti beruntung sebab semua benda pasal teknologi dan digital kita boleh guna, tak macam OKU”
“Ada je manfaat teknologi untuk OKU, teknologi untuk kita bantu OKU pun dah ada”
Tak dinafikan, dengan perkembangan dunia teknologi dan kehidupan digital, kadang-kadang terfikir jika ia tak inklusif kepada mereka yang kurang upaya.
Berdasar rekod Jabatan Kebajikan Malaysia, jumlah orang kurang upaya ( angka tidak rasmi) adalah seramai 4.7 juta di Malaysia. Jumlah rasmi OKU yang berdaftar adalah seramai 560,000 sahaja. Jumlah ini sangat besar dan golongan OKU merupakan sebahagian yang membentuk negara. Jadi perkembangan dan penggunaan teknologi tidak seharusnya meminggirkan golongan ini. Malah sebaliknya, golongan inilah yang wajib dibantu dengan teknologi bagi memudahkan urusan mereka.
Jom kita tengok teknologi yang dicipta untuk membantu golongan ini.
TEKNOLOGI UNTUK OKU
Ini antara teknologi yang dibangunkan khas untuk golongan OKU dalam kategori-kategori ini –
1. PENDIDIKAN/PEMBELAJARAN
Ace ASL – SignAll telah membangunkan teknologi AI yang menggabungkan penglihatan komputer, pembelajaran mesin dan algoritma pemprosesan bahasa semula jadi. Teknologi ini digunakan untuk pengecaman bahasa isyarat, terjemahan dan pendidikan. SignAll ialah satu-satunya pembangun yang berjaya menggunakan teknologi dipacu AI untuk menterjemah bahasa isyarat ke dalam bahasa pertuturan. Anda boleh muat turun di SINI
Quran Isyarat – Aplikasi Quran Isyarat adalah aplikasi Quran pertama di dunia yang dibangunkan untuk meraikan kekuatan dan kelainan usaha belajar Quran bagi komuniti OKU Pendengaran. Aplikasi ini mensasarkan keseluruhan Al-Quran (30 Juzuk) secara langsung dengan pengetahuan pembelajaran Quran berdasarkan Surah al-Qiyamah: 75: 16-19 yang dimulakan dengan proses mengenal, menghafaz, membaca dan menjelaskan isi kandungan ayat Quran. Anda boleh muat turun di SINI
2. KECEMASAN – kedua projek ini adalah kerjasama antara Kerajaan dan Telekom Malaysia Berhad (TM) untuk kemudahan rakyat.
- SaveMe 999 DEAF – Aplikasi ini direka khusus bagi OKU masalah pendengaran dan pertuturan untuk menghubungi 999 jika berlaku sebarang kecemasan. Aplikasi ini berfungsi sebagai satu alat bagi mereka menghantar permohonan bantuan kecemasan melalui saluran tanpa suara. Boleh dimuat turun di Google Play, App Store
- SaveMe 999 BLIND – Direka khas untuk OKU penglihatan untuk menghubungi 999 jika berlaku kecemasan. Menggunakan fungsi talkback dan voiceover, pengguna hanya perlu menekan ikon ‘SaveME 999 BLIND’ pada skrin telefon pintar dan akan dihubungkan kepada agensi kecemasan yang berkaitan. Boleh dimuat turun di Google Play, App Store
3. KEBOLEHCAPAIAN DAN FASILITI
Lookout by Google – Lookout menggunakan penglihatan komputer untuk membantu OKU penglihatan menyelesaikan sesuatu dengan lebih cepat dan lebih mudah. Menggunakan kamera telefon, Lookout memudahkan pengguna mendapatkan lebih banyak maklumat tentang dunia di sekeliling mereka dan melakukan tugas harian dengan lebih cekap. Muat turun di SINI.
Screen Reader – Perisian yang paling banyak digunapakai. Program perisian yang membenarkan pengguna buta atau cacat penglihatan membaca teks yang dipaparkan pada skrin komputer dengan pensintesis (synthesiser) pertuturan atau paparan braille. Terdapat banyak aplikasi screen reader yang boleh dimuat turun daripada Google Store, App Store ataupun dijadikan sebagai browser extension seperti Google Chrome Extension di SINI.
EBraille AL Quran – Al-Quran Braille Elektronik ialah alat bantu pengajaran dan pembelajaran Al-Quran bagi golongan OKU penglihatan yang direka olehUTM Innovation and Commercialisation Centre. Ia merupakan pangkalan data Al-Quran dalam kod Braille digital yang boleh dimuat turun dengan mudah ke dalam Panel eBraille. Panel eBraille berfungsi sebagai monitor untuk orang OKU penglihatan. Baris sel Braille akan mewakili baris pada Al-Quran Braille. Pengguna OKU penglihatan akan membaca paparan Braille menggunakan deria sentuhan mereka.
TEKNOLOGI UNTUK SEMUA
Banyak lagi sebenarnya teknologi yang dicipta untuk dimanfaatkan oleh golongan OKU. Contoh di atas hanya merupakan sebahagian daripada teknologi tersedia untuk bantu golongan OKU bersama dalam mengecapi perkembangan teknologi.
Melalui teknologi, lebih ramai daripada golongan OKU mempunyai peluang untuk hidup berdikari dan juga melakukan aktiviti yang tak boleh mereka melakukan sebelum ini. Perkasakan literasi digital kepada seluruh rakyat Malaysia agar semua dapat menikmati manfaat ketersambungan jalur lebar dan panjangkan artikel ini kepada ahli keluarga, sahabat handai dan sesiapa saja yang memerlukan untuk manfaat bersama!