‘Kerja Kosong Bangsar’,
‘Kerja Kosong setiausaha pejabat’ atau
‘Kerja kosong setiausaha pejabat sekitar Bangsar’.
Antara 3 ayat ini, mana yang anda rasa akan keluar keputusan Google lebih cepat, tepat dan lebih berkualiti? Pastinya yang terakhir.
Konsepnya sama macam anda bertanya soalan pada rakan atau individu lain. Lebih spesifik dan mudah difahami soalan anda, biasanya lebih cepat dan tepatlah jawapan yang anda akan dapat. Tapi macam mana pula nak optimumkan cara carian Google untuk dapatkan jawapan yang anda mahu? Jom ketahui cheat code dalam menggunakan carian Google.
NAK GUNA MACAM MANA?
#1 Jadi Spesifik Dengan Apa Yang Anda Mahu
Jika soalan anda terlalu luas seperti ’iklan kereta’, pasti akan mendatangkan hasil carian yang jauh daripada apa anda mahukan sebab iklan kereta boleh jadi macam-macam.
Contohnya ‘iklan kereta terpakai, iklan kereta baru, iklan kereta kontinental dan sebagainya’. Dibandingkan dengan; ‘iklan kereta terpakai murah’, ’Kereta terpakai Selangor’ atau ’iklan kereta terpakai Saga 2022’.
#2 Gunakan (+) dan (-)
Tanda tolak (-) untuk mengecualikan perkataan yang anda tak mahu cari. Contoh, taip ‘Nasi Lemak -bumbung’ untuk dapatkan kedai nasi lemak selain jenama Nasi Lemak Bumbung. Tiada ruang di antara tanda tolak dan perkataan seterusnya.
Tambah (+) untuk bagitahu enjin carian yang perkataan tertentu mesti ada dalam hasil carian. Contoh, anda boleh menaip ‘Tshirt Wanita +pink’ untuk hasil hanya t-shirt wanita dalam warna pink.
#3 Tanda Quotation (“ ”)
Kalau anda nak senarai hasil carian yang sama susunan perkataan seperti anda mahu; “Nasi Lemak Ayam Berempah”. Gunakan tanda quotation ini.
Tak lah nanti anda dapat carian ‘nasi lemak sotong’, ‘nasi lemak pandan dan ayam goreng berempah’.
#4 Gunakan ‘Tabs’ Yang Ada
Kalau anda perasan, hasil carian Google ada pilihan tab berita, imej, video, buku, shopping dan sebagainya. Manfaatkan sepenuhnya pilihan ini untuk dapatkan maklumat yang benar-benar anda mahukan. Kalau perlukan maklumat sahih, pergi pada tab berita.
#5 Pelbagaikan Perkataan Atau Frasa
Memang biasa kalau cari sekali, belum tentu dapat. Google ni fleksibel, jadi anda boleh gunakan perkataan atau frasa berlainan untuk dapat jawapan yang memuaskan.
Contoh: ‘persiapan untuk interview kerja’ dan ‘cara terbaik untuk interview kerja’.
#6 Guna Tilde (~)
Dengan menggunakan tanda tilde ni, anda boleh dapatkan hasil carian sinonim. Misalnya anda nak cari kelas aerobik dan yang seakan dengannya. Contoh:
- Kelas~aerobik
Hasil carian akan menemukan anda dengan senarai kelas aerobik dan zumba (salah satu jenis tarian aerobik).
LEVEL-UP KUASA CARIAN DENGAN GOOGLE!
Banyak lagi sebenarnya teknik yang boleh digunakan untuk buat carian Google dengan lebih berkesan ni.
Yelah, dengan ketersambungan jalur lebar memang semua orang dah jadikan enjin carian macam Google ni peneman harian.
Bila ada teknik yang boleh mempercepatkan carian dengan jawapan yang lebih tepat, pasti sangat membantu. Dengan teknik-teknik ini anda dah jadi salah seorang yang lebih ke hadapan berbanding pengguna enjin carian lain dalam dapatkan maklumat untuk masalah yang dihadapi atau informasi yang ingin dicari.
Pelajar, golongan profesional, pencari kerja, pencipta konten (content creator) atau sesiapa saja boleh memanfaatkannya. Jadinya, selamat mencuba cheat code yang diberikan di atas!