Bayangkan anda di rumah, duduk di bilik sedang fokus bermain Mobile Legends di telefon. Dah nak menang tiba-tiba permainan anda buffer, lepas itu bila dah sambung ke Internet balik, rupanya kalah. Potong betul! Rupanya sebab router dekat luar, sambungan terputus.
Mungkin ini masa untuk anda pasang Mesh Wi-Fi (Wi-Fi Jejaring dalam istilah bahasa Melayu) di rumah. Jejaring ini boleh bantu situasi buffering anda di atas. Tapi dah pasang dah router di rumah. Apa pula perbezaan Mesh Wi-Fi dengan router Wi-Fi yang sudah ada di rumah anda sekarang? Adakah anda perlu untuk menukar router tradisional sedia ada dengan Mesh Wi-Fi? Baca selanjutnya untuk mengetahui jawapan.
APA ITU MESH Wi-Fi?
Mesh Wi-Fi adalah satu alat untuk meluaskan rangkaian dan sambungan Internet di satu-satu tempat. Kebanyakannya digunakan di rumah dan pejabat. Mesh Wi-Fi akan menggunakan rangkaian Wi-Fi yang sama bagi setiap sudut dan sambungan tak akan terputus dan menyokong pelbagai sambungan peranti. Mesh Wi-Fi juga menyokong sambungan 2.4GHz dan juga 5GHz.
KENAPA ANDA PERLUKAN MESH Wi-Fi DI RUMAH?
Jaringan Luas – Memperluaskan jaringan ketersambungan rangkaian dan capaian Internet di satu-satu tempat. Mesh Wi-Fi ini berfungsi memperluaskan capaian Internet di sudut dan ruang tempat yang capaian Internetnya terbatas.
Kurang Gangguan – Gangguan capaian Internet dapat dikurangkan. Oleh sebab Mesh Wi-Fi membantu meningkatkan capaian Internet sekaligus mengurangkan gangguan Internet di tempat-tempat yang terbatas sebelum ini.
Capaian Optimum – Capaian Internet di sudut-sudut rumah atau sesuatu tempat akan dioptimumkan.
Kawalan Jauh – Boleh diletakkan di mana-mana sudut atau tempat dengan hanya menyambungkan kepada suis elektrik. Anda juga boleh mengawalnya menggunakan telefon pintar.
Harga Kompetitif – Hampir semua pembekal rangkaian Internet menawarkan perkhidmatan ini dengan harga yang berpatutan. Bersesuaian dengan pelbagai penawaran dan rangkaian sedia ada di rumah atau di tempat kerja, pilihan terpulang kepada anda untuk meningkatkan capaian rangkaian Internet. Dengan harga serendah RM15++ pakej bulanan atau RM185++ untuk peranti, pilihan di tangan anda.
Potensi Industri – Selain di rumah, antara sektor yang berpotensi untuk meningkatkan efisiensi dengan Mesh Wi-Fi adalah pertanian. Tak sangka kan? Ini adalah salah satu sebab capaian Internet penting di kawasan pinggir bandar dan merupakan usaha yang terkandung di dalam projek Jalur Lebar Pinggir Bandar Negara (Sub Urban Broadband, SUBB).
AKTIFKAN KETERSAMBUNGAN DI RUMAH ANDA SEKARANG
Dengan kewujudan Mesh Wi-Fi ini, ketersambungan dan capaian rangkaian pasti akan meningkat di rumah dan di tempat kerja sekali gus meningkatkan produktiviti rutin harian anda.
Tiada lagi terputus sambungan Internet semasa sedang bermesyuarat dalam talian, tiada lagi penantian 3-5 saat untuk menonton video kegemaran anda dan semestinya tiada lagi keperluan untuk berada berdekatan dengan router Internet bagi mendapatkan capaian Internet yang memuaskan. Tingkatkan ketersambungan capaian Internet di rumah anda dengan mencuba Mesh-Wi-Fi. Dapatkan di kedai-kedai telekomunisasi yang menawarkan servis ini.